Penagih dadah ditangkap lagi curi besi
KUCHING— Susulan tangkapan dua lelaki yang mencuri motosikal di Taman Duranda Emas, pihak polis turut berjaya memberkas rakan sejenayah mereka yang mencuri besi - menggunakan motosikal curi di sebuah stesen minyak di Batu 6 di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ketika membuat semakan menerusi Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) pengurus stesen minyak berkenaan mendapati dua lelaki mencuri papan besi monolit stesen, besi penutup tangki najis, pemancar satelit serta label di atas bumbung.
"Pada 3 Jun lalu jam 1.43 pagi didapati orang yang sama telah mencuri besi penutup parit di stesen minyak syarikat itu dengan kerugian dianggarkan RM 20,000," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, susulan itu pihak polis menangkap suspek lelaki berusia 26 tahun di tapak projek bekas Pusat Serenti Batu 6, jam 4.45 petang semalam.
"Semakan ke atas motosikal yang diguna suspek mendapati motosikal tersebut telah dilaporkan hilang di balai polis Kota Sentosa pada 28 Mei lalu.
"Suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah mengaku terlibat dengan kes curi besi dan kabel di alamat Stesen Minyak Shell Batu 6, malah motosikal yang digunakan tersebut diserahkan oleh rakan bernama Boy untuk digunakan semasa kejadian mencuri besi dan kabel," jelasnya.
Katanya, suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan akan direman mulai hari ini.