Pemilihan Warisan: Mohd Shafie bersikap terbuka, sedia dicabar

Shafie Apdal sedia dicabar. Gambar kredit Parti Warisan 

KOTA KINABALU— Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersikap terbuka dan sedia dicabar dalam pemilihan parti pada Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2022 dijadual Ogos depan.


Ahli Parlimen Semporna itu berkata parti itu mengamalkan prinsip demokrasi dengan semua pemimpin di setiap peringkat termasuk dirinya boleh dicabar dalam pemilihan parti.


"Sekiranya kepimpinan kita masih diterima, terimalah… tiada apa-apa sekatan atau halangan kepada ahli parti kita yang ada ini (bertanding apa-apa jawatan).


"Malah saya ada cakap kepada timbalan saya (Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking) jika mahu lawan ketua pun tiada masalah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Warisan di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong di sini hari ini.


Mohd Shafie berkata parti itu pada mulanya memohon kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk menangguhkan persidangan tersebut, namun pada 26 Mei lepas RoS menolak permohonan tersebut justeru persidangan itu akan diadakan pada Ogos depan.


Ditanya adakah barisan kepimpinan Warisan yang akan dipilih pada Ogos depan dapat melakukan persediaan lengkap untuk parti sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat selepas itu, Mohd Shafie percaya persediaan parti dapat dilaksanakan dengan baik.


Beliau berkata sebagai sebuah parti politik, Warisan wajar sentiasa bersedia serta akur terhadap sebarang ketetapan yang berlaku termasuk tarikh PRU15 dan beliau percaya parti itu mempunyai sokongan kuat daripada rakyat di peringkat akar umbi.


"Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kita masih kukuh dan sambutan daripada rakyat dan Warisan di peringkat akar umbi masih kuat," katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post