Pemandu diserang sawan rempuh sembilan kenderaan

Kemalangan melibatkan 10 kenderaan yang dirempuh pemandu yang diserang sawan ketika menunggu lampu isyarat di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh di sini malam tadi. Gambar Facebook

MELAKA— Seorang wanita yang patah hidungnya merupakan antara enam yang cedera dalam nahas melibatkan 10 kenderaan dirempuh pemandu yang diserang sawan, ketika menunggu lampu isyarat di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh di sini malam tadi.


Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata insiden pada  9.14 malam itu berlaku, ketika semua mangsa sedang menunggu di simpang empat lampu isyarat Taman Chiptaco berhadapan sebuah pasar raya.


Katanya siasatan awal mendapati ketika sedang menunggu lampu isyarat bertukar hijau, sebuah BMW dipandu lelaki berusia 38 tahun yang turut berhenti, tiba-tiba diserang sawan menyebabkan dia tertekan pedal minyak.


“Keadaan itu menyebabkan kenderaannya meluncur laju sebelum merempuh beberapa kenderaan lain yang sedang berhenti di hadapannya. 


“Pemandu berkenaan kemudian sekali lagi diserang penyakit itu, menyebabkan berlaku rempuhan kedua,” katanya dihubungi di sini hari ini.


Akibat insiden tersebut sembilan kenderaan lain dirempuh serta menyebabkan enam mangsa, iaitu pemandu dan penumpang berusia antara 20 hingga 73 tahun cedera ringan, termasuk pemandu Perodua Kenari wanita berusia 20 tahun mengalami patah hidung.


“Kesemua mangsa menerima rawatan di Zon Hijau dan Zon Kuning Hospital Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”  katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post