Lemas atau dibaham buaya, lelaki dilaporkan hilang di Sungai Telong
Lokasi tempat mangsa dipercayai terjatuh di Sungai Telong |
BATU NIAH— Seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Telong, Batu Niah, tengah hari tadi.
Usaha mencari mangsa, sedang dijalankan pihak bomba Batu Niah di lokasi kejadian, selepas dimaklumkan kejadian oleh orang awam.
Difahamkan, seramai tiga anggota dari Balai Bomba Batu Niah telah dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan sekitar jam 12.55 tengahari tadi.
Anggota bomba bersama agensi melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian. Gambar kredit Bomba |
Borneo Network difahamkan, mangsa dikenali sebagai Mohd Sapie, 37, warga Indonesia itu dilaporkan hilang sejak jam 8 malam tadi oleh penyelianya.
Setiba di lokasi kejadian, pihak bomba menemukan sebuah motosikal milik mangsa beserta beg sandangnya berhampiran sebuah parit yang terletak kira-kira 200 kaki dari Sungai Telong.
Jelas bomba, mangsa kemungkinan hilang di sungai dan belum dapat dipastikan sama ada mangsa dibaham buaya ataupun lemas kerana tiada saksi kejadian.
Lokasi dipercayai mangsa terjatuh. Gambar kredit Bomba |
"Setelah mendapatkan maklumat pihak Bomba bersama agensi mencari dan menyelamat (SAR) yang lain telah membuat pencarian di sekitar lokasi kejadian menggunakan bot Bomba.
"Radius pencarian adalah 1 kilometer ke hulu dan 1 kilometer ke hilir sungai dan sehingga jam 6.30 petang masih tiada menjumpai apa-apa berkenaan mangsa dan operasi diitangguhkan dan akan bersambung pada keesokan hari," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, dua individu melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan seorang lelaki berusia 56 tahun dilaporkan hilang disyaki dibaham buaya.
Kes pertama melibatkan Sebarang Bingkok, 56, berasal dari Kampung Kangka Sempadi, Lundu yang dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu dan hanya kepala mangsa sahaja berjaya dijumpai setakat ini.
Kes kedua serangan buaya pula pada 21 Mei 2022 melibatkan kanak-kanak, Mohammad Adami Moktar, 7, yang dilaporkan dibaham buaya di Sungai Nyabut, Kampung Trombol Telaga Air sekitar jam 8.30 pagi.
Sehingga kini kedua-dua mangsa masih belum dijumpai.