Lelaki maut, kereta terbalik dalam longkang

Anggota bomba dibantu orang awam  mengeluarkan mangsa di lokasi kemalangan. Gambar BBP Sri Aman

SRI AMAN—Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas, sebelum terbalik di dalam longkang di Kampung Gran E, Stumbin di sini, malam tadi.


Mangsa, Choo Jun Chiew, 51, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Komander Operasi: PBK II KUP Matthew Owen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.12 malam sebelum menggerakan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman ke lokasi.


Katanya, setibanya pasukan di lokasi kejadian, berlaku kemalangan kendiri sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang terbabas dan dalam keadaan terbalik di dalam parit jalan menuju ke kebun.


"Disebabkan jalan menunju ke lokasi kejadian sempit, pasukan Bomba terpaksa berjalan kaki ke lokasi kemalangan sejauh 1 kilometer disebabkan jentera tidak dapat melalui jalan kebun tersebut," katanya dalam kenyataan semalam.


Menurut Matthew, setelah sampai di lokasi, didapati seorang pemandu kenderaan tersebut tersepit di bahagian tangan dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.


Jelasnya, pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa dan dibantu oleh orang awam mengangkat kereta berkenaan menggunakan ‘winch’ kenderaan untuk menstabilkan kenderaan tersebut. 


"Mayat mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


"Operasi tamat pada jam 8.50 malam," katanya.

Next Post Previous Post