-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Jualan Proton meningkat pada Mei

| Jun 04, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-04T05:07:47Z

KUALA LUMPUR, 4 Jun-- Jualan pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd meningkat sebanyak 10.8 peratus kepada 9,792 unit pada Mei 2022, setelah syarikat itu berjaya meningkatkan pengeluaran dengan mengatasi isu bekalan komponen.


Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding Mei 2021.


Timbalan Pegawai Eksekutifnya Roslan Abdullah berkata peningkatan jualan pada Mei itu daripada 8,839 unit yang terjual pada April disebabkan syarikat menaikkan jumlah pengeluaran untuk mengejar permintaan pasaran.


"Sama dengan semua jenama industri automotif, kami masih berusaha untuk mendapat bekalan komponen supaya boleh memenuhi tempahan yang tertunggak dan oleh itu, kami amat menghargai kesabaran pelanggan yang tetap memberi sokongan kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  


Roslan berkata Proton X50 terus menguasai pasaran SUV selepas 2,779 unit didaftarkan pada bulan Mei membolehkan ia menyandang kedudukan pertama bagi SUV segmen-B dan juga segmen SUV secara keseluruhan.


Manakala dua lagi model Proton yang kekal di tempat pertama di segmen masing-masing adalah Proton X70 dan Proton Exora dengan jualan sebanyak 692 unit dan 387 unit.


Mengenai Proton Saga, beliau berkata model paling laris syarikat itu berjaya meraih jualan sebanyak 3,996 unit pada Mei, menempatkan ia di tangga kedua bagi sedan segmen-A.

 

"Ini adalah pencapaian yang bagus memandangkan syarikat perlu menguruskan peralihan model daripada versi lama ke versi Proton Saga 2022 yang dilancarkan pada 12 Mei.


"Model baharu menawarkan ciri-ciri yang dipertingkatkan serta peningkatan keselamatan dan kualiti. Oleh itu, permintaan pasaran amat menggalakkan dengan lebih 12,000 tempahan diterima," katanya.


Roslan berkata, model itu juga menunjukkan prestasi yang tinggi di pasaran eksport dengan jumlah eksport tahun ini berjumlah 1,482 unit, penambahan sebanyak 71 peratus berbanding tahun lepas.


"Jualan eksport bagi Mei sebanyak 513 unit adalah penambahan sebanyak 12.5 peratus berbanding bulan lepas, manakala jualan keseluruhan tahunan sebanyak 2,086 unit adalah penambahan sebanyak 47.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021.


"Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, Pakistan kekal sebagai pasaran eksport terbesar dengan 1,350 unit diikuti oleh Mesir dan Brunei dengan 172 dan 158 unit,” katanya.


Berbanding pasaran automotif secara keseluruhan pula, beliau berkata Proton mengekalkan kedudukannya di tangga kedua dengan anggaran pegangan pasaran semasa sebanyak 19.6 peratus manakala jumlah pegangan pasaran tahunan (YTD) dianggarkan pada 17.1 peratus.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update