Dua ditahan miliki syabu


KUCHING—Dua lelaki tempatan berdepan hukuman penjara dan sebat selepas didapati memiliki dadah seberat 37.33 gram dianggarkan bernilai RM3,738.95.


Ketua Polis Daerah (IPD) Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching di sekitar Kuching.



"Pada 12 Jun jam 4.10 petang, bertindak atas maklumat, pasukan serbuan telah menahan dua lelaki tempatan bertempat di sekitar bandar raya Kuching," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Ashmon, hasil pemeriksaan pasukan berjaya merampas dadah disyaki syabu seberat 37.33 gram dianggarkan bernilai RM3738.95.


Katanya, hasil ujian saringan mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.


Justeru kata Ahsmon, kedua-duanya akan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang 5 tahun dan disebat tidak kurang 10 sebatan.


"Sementara mereka juga akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan berdepan hukuman penjara tidak kurang 2 tahun tetapi tidak lebih 5 tahun dan disebat tidak kurang 3 sebatan tetapi tidak lebih 9 sebatan," katanya.

Next Post Previous Post