Cemas anak dilarikan bersama kereta

Suspek berusia 35 tahun dan seorang penganggur ditahan oleh pasukan kereta peronda polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran. 

KUANTAN—Seorang peniaga berdepan detik cemas selepas anak lelakinya dilarikan oleh seorang penganggur yang mencuri keretanya di Felda Hilir Satu di sini, yang didakwa mahu digunakan untuk pulang ke kampung.


Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu bagaimanapun berkata kanak-kanak berusia sembilan tahun itu, diturunkan di tepi Jalan Kuantan-Maran dan diambil oleh ibunya yang mengejar kereta Perodua Alza miliknya itu, dengan menaiki kereta kawannya. 


Kejadian berlaku pada 6.30 petang semalam, semasa mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik didakwa mengikut ibunya berusia 34 tahun ke rumah rakannya di felda itu, dan ditinggalkan dalam kenderaan yang tidak dimatikan enjin selama beberapa minit. 


Mangsa diturunkan di tepi jalan Kuantan-Maran.


“Ibu mangsa mendakwa jiran rakannya memaklumkan kereta itu telah dilarikan seorang lelaki, menyebabkan mereka bergegas mengejar suspek. Suspek telah menurunkan kanak-kanak itu beberapa kilometer dari lokasi kejadian dan terus melarikan kenderaan,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini. 


Wan Mohd Zahari berkata suspek berusia 35 tahun yang tidak bekerja itu, akhirnya berjaya ditahan oleh pasukan kereta peronda polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran. 


Siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, melarikan kereta itu, kerana mahu pulang ke kampung di Mentakab, Temerloh. 


Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 


Pada sidang media di IPD Kuantan hari ini, Wan Mohd Zahari berkata polis menumpaskan 'Geng Padil' yang dipercayai aktif menyamun sekitar bandar raya ini sejak Mei lepas, dengan penahanan dua lelaki warga tempatan baru-baru ini. 


Suspek berusia 22 dan 29 tahun itu yang dipercayai mulai aktif sejak Mei lepas, ditahan dalam serbuan di Jalan Batu Hitam, Beserah pada Rabu lepas semasa menaiki kereta Perodua Kancil yang dilaporkan dicuri pada 2 Jun lepas.


“Mereka dipercayai melakukan jenayah itu dengan mencari mangsa yang berjalan seorang diri, sebelum mengugut mereka dengan menggunakan parang untuk menyerahkan wang tunai dan barangan berharga,” katanya.


Wan Mohd Zahari berkata suspek dipercayai terlibat dengan lima kes jenayah termasuk samun, curi kenderaan, dan pecah kedai, dengan anggaran kerugian sekitar RM10,000.


Kedua-dua suspek yang didapati positif dadah kini direman sehingga Ahad ini.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post