Notification

×

Iklan

Iklan

Budapest: Tze Liang-Yiwei perbaiki pencapaian, permulaan baik untuk Pandelela

| Jun 27, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-27T01:40:31Z

Gambar arkib kredit Instagram @Pandelela


KUALA LUMPUR—Pemenang pingat emas Sukan SEA ke-31 Ooi Tze Liang-Chew Yiwei memperbaiki pencapaian di Kejohanan Dunia 2022, selepas menduduki tempat ke-11 pada final 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki di Budapest, Hungary malam ini.


Pada saingan di Arena Duna itu, Tze Liang-Yiwei tampil dengan terjunan konsisten, namun sekadar mengumpul 337.83 mata di kedudukan kedua terakhir, demikian menurut laman web rasmi FINA.


Pemenang emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 Wang Zongyuan-Cao Yuan dari China, mengungguli aksi tersebut dengan kutipan 459.18 mata sekali gus meraih emas.


Gandingan Great Britain Jack Laugher-Anthony Harding membawa pulang perak, selepas mengumpulkan 451.71 mata, manakala kutipan 406.44 mata membolehkan Lars Rudiger-Timo Barthel dari Jerman, merangkul gangsa.


Sebagai rekod, pada Kejohanan Dunia 2019 di Korea Selatan Tze Liang-Yiwei berada di kedudukan terakhir, daripada keseluruhan 12 pasangan.


Dalam pada itu, ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong bermula baik apabila menamatkan saingan pusingan kelayakan 10 meter (m) platform wanita, dalam kelompok empat penerjun teratas.


Dalam lima terjunannya, penerjun berusia 29 tahun itu mengumpul 332.10 mata untuk berada di kedudukan keempat, daripada keseluruhan 33 penerjun sekali gus layak ke separuh akhir yang berlangsung esok.


Juara dunia 2019 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 berusia 16 tahun Chen Yuxi, dari China mengungguli pusingan itu selepas meraih 413.95 mata, sementara rakan senegara berusia 15 tahun yang juga pemenang emas Olimpik Tokyo Quan Hongchan, di tempat kedua mengutip 410.85 mata.


Ingrid Oliveira dari Brazil ketiga selepas mengumpul 340.70 mata.


Pandelela yang memenangi pingat emas kejohanan terjun Piala Dunia 2021 di Tokyo, merupakan atlet paling senior dalam acara 10m platform wanita di Budapest.


Pada edisi 2019, Pandelela menduduki tempat kelima dalam acara 10m platform, namun membawa pulang perak dalam acara 10m platform seirama wanita bersama gandingannya Datuk Leong Mun Yee.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update