-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Bekas diplomat, anak didakwa edar ganja

| Jun 03, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-03T08:56:45Z
Gambar hiasan kredit Matthew Brodeur Unsplash

BENTONG— Seorang bekas diplomat dan anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas  pertuduhan mengedar dadah jenis ganja dan memiliki minyak ganja, dua minggu lepas.


Datuk Zainal Abidin Alias, 78, dan Mohamed Rizal, 53, didakwa bersama-sama mengedar ganja seberat 1,020 gram di sebuah rumah di Kampung Sum-Sum Hilir, Janda Baik, di sini pada 6.10 petang, 21 Mei lepas.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Tiada pengakuan direkodkan dari kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim kerana kes hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Bagi pertuduhan menyimpan minyak ganja seberat 60 mililiter, dua beranak itu mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu yang didakwa dilakukan di tempat dan masa sama.


Mereka dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 9(1)(b) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(2) akta sama iaitu penjara tidak lebih lima tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Mohamed Rizal  juga berdepan pertuduhan menggunakan dadah jenis THC di pejabat narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada 8.40 malam, 23 Mei lepas. 


Dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan pengawasan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang Mohammad Khalid Ab Karim dan Timbalan Pendakwa Raya Hayda Faridzal Abu Hassan serta S. Punitha manakala tertuduh diwakili  barisan peguam Rahmat Hazlan, Tania Scivetti dan Kamil Azman.


Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh kerana pertuduhan di bawah Seksyen 39B merupakan kesalahan tidak boleh dijamin.


Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 Jun.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update