Aksi tepuk punggung, SKMM siasat pengasas produk kecantikan, selebriti


KUALA LUMPUR—Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama polis telah menjalankan siasatan terhadap tiga individu yang memuat naik kandungan berunsur  sumbang dan jelik di laman aplikasi Instagram dan Tik Tok baru-baru ini.


SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemeriksaan bagi tujuan siasatan telah dilakukan terhadap pengasas produk kecantikan dan selebriti terkenal tersebut di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang semalam selepas pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung perkara itu.


"Siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.


“SKMM memandang serius tindakan beberapa pengasas produk kecantikan dan selebriti terkenal yang telah memuat naik kandungan yang boleh disifatkan sebagai sumbang dan jelik di aplikasi Instagram dan Tik Tok masing-masing," menurut kenyataan itu.


SKMM menasihatkan orang ramai khususnya para selebriti yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat supaya menunjukkan teladan yang baik dan peka untuk tidak memuat naik kandungan yang bertentangan dengan undang-undang.


Baru-baru ini video yang dimuat naik oleh beberapa pengasas produk kecantikan dan selebriti terkenal itu telah menerima kritikan dan kemarahan warganet.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.