-->

Notification

×

Iklan

Iklan

82,846 kes HFMD dikesan

| Jun 07, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-07T04:33:06Z
Gambar kredit Young Parents

KUALA LUMPUR-- Sejumlah 82,846 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan hingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 22/2022 (4 Jun) yang menyaksikan peningkatan sebanyak 32 kali ganda berbanding 2,485 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jika dibandingkan jumlah kes sebanyak 30,489 bagi tempoh sama pada 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.7 kali ganda.


Beliau berkata kes yang dilaporkan di seluruh negara bagi ME 22/2022 adalah 16,954 kes, menurun 9.3 peratus berbanding 18,688 pada ME 21/2022.


Dr Noor Hisham berkata hingga 4 Jun, Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 23,305 kes (28.13 peratus), diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 9,540 kes (11.52 peratus), Perak 8,032 kes (9.7 peratus), Kelantan 5,782 kes (6.98 peratus) dan Johor 5,234 kes (6.32 peratus).


“Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 74,841 kes (90 peratus), diikuti kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun dengan 6,520 kes (lapan peratus) manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu 1,485 kes (dua peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.


Dr Noor Hisham berkata berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) penyebab HFMD di Malaysia, tiga virus utama yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti pada tahun ini adalah Enterovirus 71 (EV71), Coksackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16).


Beliau berkata sehingga kini, terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan kes pertama dan kedua dimasukkan kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan masih di bawah pemantauan rapi di ICU manakala kes ketiga telah sihat dan dibenarkan pulang pada 31 Mei lepas.


Sehingga kini, sebanyak 1,746 wabak dilaporkan di Malaysia dengan tiga negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 562 wabak (32.2 peratus), diikuti Selangor 208 wabak (11.9 peratus) dan Sarawak 206 wabak (11.8 peratus).


“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tabika, tadika dan prasekolah iaitu 1,059 wabak (61 peratus) diikuti oleh rumah persendirian dengan 605 wabak (35 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 56 wabak (tiga peratus),” katanya.


Wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.


Menurut Dr Noor Hisham setakat 4 Jun, sebanyak 1,346 premis taska/tadika/tabika/prasekolah telah ditutup meliputi 305 premis yang ditutup secara sukarela dan 1,041 premis ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.


Sementara itu, beliau menyeru ketua jabatan dalam perkhidmatan awam untuk mengambil berat berkenaan kemudahan cuti menjaga anak yang dijangkiti HFMD dan mengambil tanggungjawab dalam membantu kerajaan menangani penularan kes itu.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update