11 lelaki ditahan, salah guna dadah

Gambar hiasan

BINTULU-- Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu menahan 11 lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 42 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam Op Tapis Khas di kawasan Jalan Abang Galau dan Jalan Masjid semalam.


Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew berkata hari ini, kesemua suspek disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah yang mana hasil ujian saringan  air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati kesemuanya positif mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. 


Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


Sabit kesalahan, kesemua suspek boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun beserta diletakkan dalam tempoh pengawasan selama dua tahun.


"Tangkapan ini merupakan salah satu usaha PDRM dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, disamping mencegah aktiviti jenayah di Bintulu," ujarnya.


Batholomew dalam masa yang sama menasihatkan orang ramai agar melaporkan atau menghubungi talian PDRM Bintulu di 086-318304 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah di daerah ini.

Next Post Previous Post