Wanita warga emas ditahan pandu kenderaan berbahaya, melawan arus

Tangkap layar kereta yang dipandu melawan arus sehingga tular di media sosial.

KUCHING—Tindakan wanita warga emas memandu kenderaan secara berbahaya dan melawan arus di persimpangan lampu isyarat Pending, mengundang padah apabila ditahan polis Ahad lalu (15 Mei).

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintenden Merbin Lisa berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan berhubung satu video dimuat naik menerusi laman Facebook yang tular pada 13 Mei 2022.

Menurutnya, susulan itu penangkapan telah dilakukan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching terhadap suspek yang merupakan wanita warga emas berusia 75 tahun.

"Pada petang 15 Mei 2022, polis berjaya mengesan kenderaan suspek berada di sekitar kawasan Pending. Suspek yang hadir sendiri ke IPD Kuching pada malam tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Kuching di Padang Kawad IPD Kuching di sini, hari ini.

Menurut Merbin, wanita tersebut mendakwa memandu kenderaan dalam keadaan tergesa-gesa dan melawan arus ketika kejadian iaitu pada 13 Mei 2022 kerana hendak menjual barangan terpakai di kilang berhampiran.

"Memandangkan kilang tersebut dijangka ditutup dalam tempoh masa yang singkat tambahan lagi dengan kesesakan jalan raya yang berlaku, suspek mengambil keputusan tidak wajar dengan melawan arus ke lokasi tempat jualan barangan terpakai itu," katanya.

Sehubungan itu kata Merbin, wanita yang berasal dari Kuching tersebut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu secara melulu dan membahayakan.

Selesai mengambil keterangan daripada suspek, beliau berkata suspek kini telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam rakaman video yang tular di laman Facebook baru-baru ini memaparkan pemandu kenderaan berkenaan memandu dengan melawan arus jalan sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna lain.

Video yang tular berkenaan dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat Pending, berhampiran Klinik Kesihatan Tanah Putih di sini.
Next Post Previous Post