Untung Bintulu Port naik kepada RM41.06 juta

Hasil turut meningkat kepada RM198.11 juta daripada RM184.80 juta/ Gambar kredit Bintulu Port 

KUALA LUMPUR— Bintulu Port Holdings Bhd mencatat peningkatan dalam keuntungan bersih kepada RM41.06 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 (S1 TK2022) daripada RM24.70 juta setahun lalu disebabkan prestasi perniagaan perkhidmatan pelabuhan dan pukal yang memberangsangkan.


Hasil turut meningkat kepada RM198.11 juta daripada RM184.80 juta, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.



Ia berkata hasil yang direkodkan daripada perkhidmatan di Pelabuhan Bintulu meningkat kepada RM146.41 juta berbanding RM142.46 juta yang dicapai pada S1 TK2021.


Hasil yang dijana daripada operasi di Pelabuhan Perindustrian Samalaju turut meningkat kepada RM41.90 juta daripada RM32.64 juta sebelumnya.


Sementara itu hasil daripada kemudahan pukal meningkat kepada RM9.79 juta berbanding RM9.70 juta pada S1 TK2021.


Pada tahun ini, kumpulan itu menjangkakan momentum positif dalam pengeluaran kargo daripada gas asli cecair (LNG), minyak sawit, kontena dan sektor pukal kering berikutan kebanyakan negara telah melonggarkan prosedur operasi standard berkaitan dengan COVID-19.


Jangkaan itu juga berdasarkan andaian bahawa ekonomi global terus pulih secara beransur-ansur daripada kesan pandemik.


“Walaupun begitu, Bintulu Port akan terus berwaspada dengan situasi semasa yang tercetus daripada konflik Rusia-Ukraine,” tambahnya.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post