Umat Islam di Indonesia dan Thailand rai Adilifitiri hari ini, Singapura esok

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR—Negara jiran Indonesia dan Thailand akan turut serta dengan Malaysia meraikan Aidilfitri pada Isnin (2 Mei), sementara Singapura akan meraikannya pada Selasa (3 Mei).

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam ini mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Isnin, 2 Mei 2022," katanya.

Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan.

Di Jakarta, Menteri Hal Ehwal Ugama Yaqut Cholil Qoumas mengumumkan di kementeriannya malam ini bahawa rakyat Indonesia akan menyambut Aidilfitri juga pada Isnin. 

Di Bangkok, umat Islam di Thailand akan menyambut Aidilfitri pada tarikh sama, demikian diumumkan oleh Sheikul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon.

“Jadi, dengan ini, saya mengisytiharkan Isnin, 2 Mei sebagai hari pertama Aidilfitri,” kata Aziz dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan.

Bagaimanapun, Singapura tidak akan menyertai Malaysia, Indonesia dan Thailand dalam meraikan Aidilfitri pada Isnin.

Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini mengumumkan bahawa hari pertama Syawal 1443H/2022 jatuh pada Selasa, 3 Mei 2022.

"Mengikut kiraan hisab, anak bulan Syawal tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan tidak juga mencukupi syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS.

MABIMS ialah akronim kepada Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.