Terima kasih atas sokongan untuk saya terus terajui PBB-Abang Johari


KUCHING: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berterima kasih kepada semua ahli parti yang memberi sokongan penuh untuk beliau terus menerajui sekali gus mempertahankan jawatan tertinggi parti itu.

Memetik laporan The Borneo Post, Premier Sarawak itu berkata sokongan padu daripada akar umbi membuktikan ahli-ahli dan parti di setiap ranting dan cawangan yakin terhadap kepimpinan beliau.

"(Ini membuktikan) satu keyakinan, selain menunjukkan setiap ahli parti mahukan parti yang stabil.

"Seperti yang anda tahu, bersama-sama kita dengan parti komponen, (kita mahu) memperkukuh negeri, yang mana kita perlu ada kerajaan yang berpandangan ke hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pasa majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilifitri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib di BCCK.

Menurut Abang Johari, kesemua mesyuarat agung tritahunan PBN (TGM) peringkat cawangan berjalan dengan lancar.

Jelasnya, TGM peringkat cawangan hampir selesai dan PBB dijadual mengadakan Perhimpunan Agung Tritahunan (TDC) Ke-15 selama tiga hari pada Jun depan di BCCK. 

Selain sokongan terhadap Abang Johari, beliau memberitahu, ahli-ahli parti juga memberi sokongan penuh kepada dua timbalan presiden untuk kekal menjawat jawatan tersebut.

Dua timbalan presiden itu adalah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga merupakan Timbalan Premiers Sarawak.

Pada 21 Mac, Naib Presiden PBB Datuk Julaihi Narawi berkata, parti itu dijangka mengadakan TDC pada 16 hingga 19 Jun nanti.

Tambahnya, dijadualkan persidangan itu akan berlangsung selama empat hari bertempat di BCCK.

Untuk rekod, PBB kini mempunyai 82 cawangan di seluruh Sarawak.
Next Post Previous Post