Segera atasi masalah talian telefon, internet di Kampung Long Pasia

Menara telekomunikasi di Kampung Long Pasia. Gambar arkib KKMM

SIPITANG— Syarikat telekomunikasi digesa segera menyelesaikan masalah gangguan liputan talian telefon dan internet yang dihadapi oleh pengguna di beberapa kampung di daerah ini termasuk Kampung Long Pasia yang terkenal sebagai tarikan pelancong.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin Sani Miasin berkata beliau menerima aduan daripada penduduk kampung berhubung masalah talian komunikasi sering terputus sejak kebelakangan ini.

Saini Miasin. Gambar FB

"Antara kampung yang dilaporkan terjejas teruk ialah Kampung Long Pasia, Kampung Long Mio, Kampung Ulu Bole, Kampung Meligan dan Kampung Iburuh. Masalah itu telah menjejaskan hubungan dan komunikasi lebih 1,000  penduduk kampung yang terlibat.

"Saya difahamkan masalah itu berpunca daripada kerosakan penjana kuasa menara telekomunikasi di Kampung Long Pasia dan Kampung Ulu Bole," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Sipitang merupakan sebuah daerah terletak di kawasan pedalaman Sabah iaitu kira-kira 144 kilometer  (km) ke arah selatan Kota Kinabalu, dan terkenal dengan kawasan tanah tinggi antaranya Kampung Long Pasia.

Sani berkata liputan talian telefon dan internet di kawasan berkenaaan bergantung kepada menara telekomunikasi, namun memerlukan penjana kuasa bagi memastikan ia dapat beroperasi 24 jam. 

"Kerosakan penjana kuasa menyebabkan talian komunikasi terputus. Berdasarkan aduan orang kampung penjana kuasa di menara Kampung Long Pasia mengalamai kerosakan sejak 8 April lepas, namun sehingga kini ia masih belum berjaya dibaiki,” katanya.

Sani berkata disebabkan talian komunikasi terputus, penduduk Kampung Long Pasia terpaksa bergantung kepada Menara Kampung Long Mio bagi kes kecemasan.

"Sudah jatuh ditimpa tangga apabila difahamkan pada 25 April lepas gangguan juga berlaku di Kampung Long Mio. Ini bermakna Kampung Ulu Bole, Kampung Meligan, Kampung Iburuh dan Kampung Long Pasia tiada liputan talian telefon dan internet.

"Masalah gangguan talian komunikasi di kampung berkenaan tiada kesudahan sejak sekian lama terutama di Kampung Long Pasia, Kampung Long Mio dan sekitarnya. Gangguan liputan talian telefon dan internet ini turut menjejaskan proses pembelajaran pelajar sekolah," katanya.

Jarak Kampung Long Pasia dan Kampung Long Mio dari Pekan Sipitang kira-kira 128 kilometer dan hanya boleh dihubungi menggunakan jalan balak yang kini dalam keadaan yang amat teruk menyebabkan sukar dilalui walaupun menggunakan kenderaan berat.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.