Sarawak anjur BIWWEC 2022 Oktober ini

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi / Gambar FB Julailhi Narawi

KUCHING—Sarawak akan menganjurkan Pameran dan Persidangan Air dan Air Buangan Antarabangsa Borneo Kelima (BIWWEC 2022) di sebuah hotel terkemuka di sini dari 17 hingga 19 Okt ini.


Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata persidangan itu akan dapat menyediakan platform yang membina dan bermanfaat untuk membincangkan serta melahirkan inovasi dan teknologi baharu, yang boleh disesuaikan bagi menambah baik sistem bekalan air dan air buangan di negeri ini.


"Kita harap beberapa penyelesaian yang dikemukakan di BIWWEC 2022 mungkin boleh diserapkan ke dalam projek bekalan air di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, seperti Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) dan banyak lagi," katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Majlis pelancaran program anjuran Persatuan Air Malaysia (MWA) cawangan Sarawak dengan tema “Kelestarian dan Ketahanan Menerusi Teknologi Pintar dan Inovasi” itu dijangka akan disempurnakan oleh Premier Sarawak , Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan ia disasar untuk menarik penyertaan 300 peserta dan 30 penceramah.


“Isu yang merangkumi topik seperti strategi pemulihan Pasca COVID-19, grid bekalan air, pengurusan sumber air, serta transformasi digital sistem (pengurusan) akan dikupas dan dibincangkan dalam program tiga hari ini,” tambahnya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post