RUU lompat parti: Hampir semua keputusan peringkat dasar dimuktamadkan

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar 

KUCHING-- Hampir semua keputusan peringkat dasar untuk Jabatan Peguam Negara mendrafkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti telah dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mesyuarat Jawatankuasa Khas Parlimen menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti untuk kali keempat telah diadakan semalam.


"Mesyuarat ini dipengerusikan oleh saya dihadiri Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Lukanisman Awang Sauni (Sibuti), Gobind Singh Deo (Puchong), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Tuaran), Datuk Seri Saifuddin Nasution (Kulim-Bandar Baharu) dan Datuk Ignatius Dorell Leiking (Penampang).

"Mesyuarat ini hampir memuktamadkan semua keputusan peringkat dasar untuk pihak Jabatan Peguam Negara mendrafkan Rang Undang-Undang Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.

"Jadi, dengan sendirinya mesyuarat ini dilihat telah berjaya merungkai masalah dasar dan juga persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh banyak pihak," katanya dalam hantaran di Facebook rasminya.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, ada kata sepakat dicapai dalam sudut pelaksanaan dasar undang-undang ini.

"Daripada itu juga, jika dirujuk kepada semua saranan oleh pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), masyarakat madani, pakar akademik dan kepakaran lain nampaknya ada kata sepakat dalam sudut pelaksanaan dasar undang-undang ini," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, draf yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat pada 19 Mei nanti adalah untuk memuktamadkan draf Rang Undang-Undang Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang digubal oleh Jabatan Peguam Negara berlandaskan dasar-dasar yang diputuskan semalam.

Jelasnya, jawatankuasa berharap agar draf ini dapat dibentangkan sebagaimana yang dijadualkan sejak awal.

"Oleh itu, perbincangan mengenai takwim pelaksanaan rang undang-undang ini telah dibuat secara mendalam pada semalam bagi memastikan kelulusan daripada Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan pihak JK Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik diperoleh," ujarnya.
Next Post Previous Post