Rubiah: 90% serangan seksual terhadap kanak-kanak didalangi individu dikenali mangsa termasuk penjaga sah


KOTA SAMARAHAN-- Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang mendedahkan kira-kira 90 peratus serangan seksual terhadap kanak-kanak di Sarawak didalangi mereka yang dikenali oleh mangsa termasuklah penjaga yang sah.


Beliau memberitahu ia berdasarkan rekod dan statistik daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak. 



Jelasnya, berdasarkan rekod dan statistik itu, sebanyak 1,257 kes yang membabitkan serangan seksual terhadap kanak-kanak lelaki dan wanita dilaporkan berlaku sejak 2016.


“Statistik tersebut menunjukkan ia satu angka yang membimbangkan dan kita minta Ibu bapa supaya lebih peka dengan pergerakan dan perkembangan anak-anak," katanya semasa menyempurnakan Majlis Penangguhan Bengkel Kemahiran Keibubapaan anjuran KEMAS Daerah Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini hari ini. 



Sehubungan itu, Rubiah berharap penganjuran bengkel seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang. 


Ini katanya bagi memperkasakan lagi kesedaran dalam kalangan ibu bapa berhubung langkah-langkah pencegahan bagi menggelak berlakunya kes serangan seksual melibatkan golongan kanak-kanak. 



“Saya percaya dengan pengisian yang ada pada bengkel ini dapat memberikan maklumat yang boleh membantu ibu bapa untuk berinteraksi dengan lebih baik bersama anak-anak masing-masing. 


"Hal ini sekaligus dapat mengelakkan mereka dari menjadi mangsa sesetengah golongan yang tidak bertanggungjawab," ujarnya lagi.



Hadir sama Wakil Pegawai KEMAS Bahagian Samarahan, Safiyah dan Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan, Dr. Aaron Wong.




Next Post Previous Post