Rasuah pengurusan jenazah: SPRM tahan 4 kakitangan hospital

Gambar hiasan

SHAH ALAM— Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menahan empat kakitangan di sebuah hospital di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima suapan antara RM1,000 dan RM5,000 setiap seorang bagi kerja-kerja berkaitan pengurusan jenazah.


Menurut sumber, dua suspek merupakan pembantu kesihatan dan dua lagi adalah penolong pegawai perubatan berusia antara 35 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira 6 petang tadi di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.


Katanya, kesemua suspek dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.


Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Katanya tiga daripada suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk mendapatkan perintah reman, manakala seorang lagi suspek yang merupakan penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun akan dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.


Pada 27 Mei lepas, dua pembantu kesihatan masing-masing berusia 40 dan 42 tahun direman lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes sama.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post