Profesion kewartawanan harus bebas demi kebebasan bersuara

Ismail Sabri (lima kiri) pada majlis sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 yang turut dimeriahkan dengan kehadiran wartawan dari negara ASEAN termasuk pemimpin media utama dari Indonesia. Gambar kredit Fb Ismail Sabri

MELAKA—Profesion kewartawanan harus kekal bebas dan berfungsi tanpa gangguan serta campur tangan pihak lain bagi menjamin kebebasan bersuara di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 


Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita, malah ada antaranya dijadikan panduan pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan seperti  penyaluran bantuan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.


”Kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap laporan yang dibangkitkan oleh media. Semua kementerian dan agensi kerajaan sentiasa memberi kerjasama kepada media dalam membantu memudahkan penyaluran maklumat yang seimbang, tepat, sahih  dan memuaskan hati seluruh Keluarga Malaysia. 


"Saya beri jaminan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan oleh kerajaan dalam penyaluran maklumat demi kepentingan Keluarga Malaysia dan pembangunan negara," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di sini hari ini. 


Turut hadir pada sambutan HAWANA tahun ini yang bertemakan “Suara Jelata, Aspirasi Negara” adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. Hadir sama pemimpin media utama dari Indonesia terdiri daripada Pemimpin Redaksi  atau Ketua Pengarang serta  pimpinan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Indonesia. 


Perdana Menteri mengakui golongan wartawan melaksanakan fungsi media sebagai estet keempat bersama-sama pihak eksekutif, perundangan dan kehakiman yang saling berganding bahu dengan kerajaan untuk menjayakan agenda pembangunan negara.


"Saya amat menghargai sumbangan wartawan dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan  termasuk teguran bernas dan berasas supaya kerajaan dapat menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat selaras dengan hasrat dan konsep Keluarga Malaysia," katanya. 


Beliau berkata wartawan dianggap sebagai golongan pemikir kerana sentiasa memperoleh informasi segar dan terkini sebelum mencambahkan buah fikiran dan idea bernas bagi memperkayakan penulisan untuk menjamin Keluarga Malaysia yang berinformasi. 


Selain itu, Perdana Menteri berkata adalah menjadi harapan kerajaan agar golongan wartawan terus menyiarkan laporan yang adil dan proaktif dalam mengeluarkan cadangan bagi penyelesaian kepada sesuatu isu yang dibangkitkan.


"Saya yakin langkah ‘semak dan imbang’ terhadap setiap informasi yang diterima sebelum disebarkan tetap menjadi amalan media bagi mengelak berlaku sebarang salah lapor yang boleh menjejaskan juga integriti dan kepercayaan ramai terhadap media," katanya. 


Perdana Menteri turut mengucapkan syabas kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), selaku agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana meneruskan inisiatif menggerakkan usaha penganjuran HAWANA 2022 dengan sokongan organisasi-organisasi media di negara ini.


Selain itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada ISWAMI bagi membolehkan ia melaksanakan aktiviti-aktiviti mengukuhkan hubungan media antara Malaysia dan Indonesia serta negara jiran lain yang sudah terjalin sejak sekian lama.


“Diharapkan dengan peruntukan ini, ISWAMI dapat merancang program kerjasama media kedua-dua negara seperti pertukaran wartawan, seminar, forum, bengkel dan webinar yang berupaya meningkatkan ilmu para pengamal media selain menjadi jambatan dalam isu-isu berkepentingan bersama. Kalau tak cukup, boleh minta lagi,” katanya.


Perdana Menteri turut menyarankan supaya media Malaysia-Indonesia memainkan peranan yang  lebih strategik bagi mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara. 


Beliau juga menyarankan konsep ISWAMI diperkembangkan merentasi negara anggota ASEAN untuk mengeratkan hubungan wartawan antara negara terlibat, selain membantu menggalakkan promosi mengenai Malaysia secara meluas seterusnya menarik lebih ramai pelancong serta pelabur luar ke negara ini menerusi laporan berita dan penulisan rencana. 


-- BERNAMA 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.