Pesara rugi RM60,000 diperdaya 'Pos Malaysia'


IPOH-- Seorang pesara kerugian RM60,000 selepas apabila menjadi mangsa penipuan 'parcel scam' atau penipuan bungkusan oleh seorang individu yang menyamar wakil Pos Malaysia Berhad.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata lelaki warga emas berusia 72 tahun itu  mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu tersebut pada 11 Mei lepas dengan memaklumkan terdapat bungkusan milik mangsa yang tidak dituntut.


"Mangsa tidak mengaku bungkusan mengandungi kad pengenalan, kad ATM dan cek atas nama mangsa adalah miliknya. Mangsa kemudian disambungkan panggilan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah kerana dikatakan mempunyai barangan terlarang dalam bungkusan tersebut.


"Mangsa telah dituduh terlibat dengan pengubahan wang haram dan kes dadah. Mangsa diminta menyerahkan butiran akaun miliknya bagi mengelakkan duit simpanan sedia ada dalam akaunnya dibekukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ahmad Adnan berkata mangsa telah menyerahkan segala butiran akaun miliknya kepada pihak sindiket dan diminta memindahkan wang sedia ada dalam akaun Bank Simpanan Nasional miliknya ke dalam dua akaun keldai yang diberikan sindiket, iaitu RM30,000 bagi setiap akaun pada Khamis dan Jumaat lepas.


"Mangsa kemudian membuat laporan polis semalam apabila menyedari dirinya ditipu pihak tersebut," katanya.


Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tindakan licik sindiket Macau Scam dengan mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada mana-mana pihak tidak dikenali.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post