Pembinaan LRA Salim dijangka siap pada 2026

Loji Air Salim di Sibu. Gambar arkib

KUCHING—Kajian kebolehlaksanaan projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Salim di Sibu daripada kapasiti 150 juta liter sehari (JLH) kepada 300 JLH di bawah Fasa Tiga dengan anggaran kos RM300 juta telah selesai dilaksanakan.


Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata reka bentuk terperinci itu sedang dalam proses pelaksanaan dan disasarkan siap menjelang suku ketiga 2023.


“Pembinaan dijangka dapat dimulakan pada awal 2024. Dengan tempoh pembinaan selama 30 bulan, projek itu dijangka siap menjelang 2026,” katanya dalam jawapannya kepada soalan Chieng Jin Ek (GPS-Bukit Assek) semasa soal dan sesi jawapan pada persidangan DUN Sarawak di sini hari ini.


Beliau berkata usaha menaik taraf Loji Rawatan Air Salim adalah sejajar dengan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Grid Air kerana ia akan menjadi antara loji utama di Wilayah Tengah.


Beliau berkata projek itu adalah antara sembilan projek diluluskan bagi menangani masalah tekanan air di Sibu berikutan peningkatan permintaan bekalan air susulan faktor pembangunan dan pertumbuhan kawasan Sibu.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post