Pemandu cedera dirempuh pikap masuk laluan ambulans

Keadaan ambulans badan kebajikan yang dilanggar pikap dalam kemalangan di KM19.5, Jalan Bau/Kuching pagi tadi.

LUNDU— Sebuah ambulans badan kebajikan yang membawa seorang pesakit terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di KM19.5, Jalan Bau/Kuching pagi tadi.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata, dalam kejadian sekitar jam 9.16 pagi, ambulans tersebut dalam perjalanan dari Lundu menuju ke arah Kuching.


Kenderaan 4WD selepas melanggar ambulans lalu terbabas ke kiri jalan.


“Apabila sampai di lokasi, kenderaan 4WD yang dipercayai hilang kawalan telah masuk ke laluan mereka


Mangsa yang terkejut kemudian  mengelak sedikit ke tepi namun masih dilanggar di bahagian tepi menyebabkan kenderaan mangsa terbabas ke kiri jalan. Manakala kenderaan 4WD terbabas di belakang ambulans tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Jelasnya, pemandu iaitu seorang lelaki berusia 59 tahun dan penumpang ambulans hanya mengalami kecederaan ringan. Manakala pemandu 4WD jenis Toyota Hilux iaitu seorang lelaki berusia 58 tahun turut dilaporkan mengalami kecederaan ringan.


Kes  masih disiasat  mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 .


Next Post Previous Post