Lelaki sedang 'santai' berehat dicekup polis, disyaki terlibat dadah


BAU-- Tidak sedar polis sampai, seorang pemuda dicekup bersama syabu selepas disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah di Kampung Jagoi Sri’eng di sini semalam.


Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditangkap sekitar jam 11.30 tengah hari di bilik belakang sebuah rumah di kampung berkenaan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bau.



"Pemeriksaan lanjut di bahagian bilik belakang sebuah rumah telah menahan seorang lelaki yang sedang rehat tanpa sedar kehadiran polis. 


"Hasil pemeriksaan telah menjumpai dua paket plastik kecil lutsinar yang berisi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar  0.48 gram di atas meja kayu dalam bilik berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Berikutan itu, tegasnya, suspek ditahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. 


"Pemeriksaan saringan awal air kencing juga terhadap lelaki itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine," tambahnya.


Sehubungan itu, kata Poge suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Bagaimanapun, jelasnya, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. 


Mengulas lanjut, beliau memberitahu, siasatan awal mendapati lelaki tersebut terlibat dengan pengambilan dadah akibat pengaruh kawan sejak beberapa tahun yang lalu.


Justeru, katanya polis akan meneruskan rondaan untuk mengesan mana-mana individu yang terlibat dengan aktiviti dadah dan di samping mendapatkan maklumat dari orang ramai jika terdapat aktiviti salah guna dadah khususnya di kawasan Daerah Bau.


"Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik akan kerap melakukan rondaan di setiap kampung berkaitan aduan awam di terima. 


"Daripada aduan awam beberapa tangkapan telah berjaya. Ini menunjukan pihak polis sentiasa menerima aduan dan aduan berkenaan akan dirahsiakan," ujarnya.

Next Post Previous Post