Lapangan Terbang Sarawak rekod 3.56 juta pergerakan penumpang tahun ini
![]() |
Datuk Seri Lee Kim Shin semasa menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih atas ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Sarawak di sini hari ini. |
KUCHING-- Sebanyak 95,539 pergerakan pesawat dan 3.56 juta penumpang direkodkan di lapangan terbang Sarawak pada suku pertama tahun ini, kata Menteri Pengangkutan negeri Datuk Seri Lee Kim Shin pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Beliau berkata sejumlah 82.3 juta kilogram pergerakan kargo juga direkodkan untuk tempoh yang sama dan angka itu dijangka meningkat selepas kerajaan memutuskan untuk menarik balik perintah penutupan sempadan berikutan keadaan pandemik COVID-19 yang bertambah baik.
“Kekerapan penerbangan telah meningkat secara beransur-ansur tetapi bukan tanpa isu seperti yang diketengahkan dalam media. Mesti ada penerbangan mencukupi untuk memenuhi keperluan pelawat dan untuk pergerakan kargo,” katanya ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih atas ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata setakat ini jumlah penerbangan mingguan yang diluluskan ke Sarawak adalah 619 terdiri daripada 33 penerbangan antarabangsa dan 586 penerbangan domestik.
“Kementerian saya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa penerbangan berkaitan untuk mengkaji kemungkinan meningkatkan kekerapan penerbangan terutamanya pada musim perayaan dan untuk memperluaskan liputan penerbangan ke destinasi antarabangsa lain di rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.