Koperal polis tidak mengaku salah terima suapan RM2,000

Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas sebutan kes terhadapnya hari ini. Gambar kredit Sinar Harian

KUANTAN—Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki, tahun lepas.

Abdul Wahab Musa, 57, yang bertugas di Bahagian Operasi dan Cegah Jenayah, Balai Polis Kuala Bera, Bera didakwa memperoleh suapan wang tunai RM1,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak menangkap anak lelaki itu yang memiliki kenderaan klon iaitu kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Abdul Wahab juga didakwa atas perbuatan serupa melibatkan wang berjumlah RM1,000 daripada individu sama. 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Balai Polis Kuala Bera pada 19 Mei 2021 dan di rumah rakit Kampung Bukit Serdang, Kuala Bera pada 2 Jun dan 5 Sept 2021.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin menawarkan jaminan RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan, namun Abdul Wahab yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah itu dikurangkan kerana berpendapatan RM1,900  serta mempunyai tujuh tanggungan termasuk tiga anak yang masih bersekolah.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai serta menetapkan 14 Jun depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post