-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Kes HFMD naik 20 kali ganda

| Mei 24, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-24T05:14:22Z
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR—Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara meningkat pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 20 kali ganda dengan 47,209 kes dilaporkan setakat 21 Mei lepas berbanding hanya 2,237 kes bagi tempoh sama tahun lepas.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 15,548 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 20/2022 yang berakhir pada 21 Mei yang menunjukkan peningkatan 106.6 peratus, berbanding ME sebelumnya dengan hanya 7,526 kes di seluruh negara.


“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan prasekolah iaitu 711 wabak atau 61 peratus daripada kes keseluruhan, diikuti rumah persendirian dengan 407 wabak atau 35 peratus dan pusat jagaan kanak-kanak 42 wabak atau tiga peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Dr Noor Hisham berkata Selangor menyumbang jumlah kes terbesar HFMD dengan 13,640 kes iaitu 28.9 peratus daripada keseluruhan, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 6,206 kes (13.1 peratus), Perak 4,099 kes (8.7 peratus), Kelantan 3,726 kes (7.9 peratus) dan Sabah 3,352 kes (7.1 peratus) manakala negeri-negeri lain melaporkan kurang daripada 2,500 kes.


Beliau berkata sebanyak 1,168 wabak dilaporkan di Malaysia dengan tiga negeri mencatat kejadian wabak tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 413 wabak (35.4 peratus) diikuti Selangor dengan 143 wabak (12.2 peratus) dan Perak dengan 130 wabak (11.1 peratus).

 

Dr Noor Hisham berkata kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu 43,736 kes (93 peratus), diikuti kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun iaitu 2,765 kes (6 peratus) manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu 696 kes (satu peratus).


Wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi.


Sementara itu, beliau memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah telah menjalankan sesi libat urus dengan agensi yang menyelia pengurusan taska, tadika dan prasekolah sejak ME 17/2022 berikutan peningkatan kes HFMD di kebanyakan negeri.


Beliau berkata sesi tersebut memberikan penekanan kepada saringan di pintu-pintu masuk, amalan mencuci tangan menggunakan sabun dan air bersih, membersihkan dan melakukan basmi kuman alat permainan anak serta lantai rumah terutama tandas menggunakan larutan daripada peluntur.


Penekanan juga diberikan kepada pengurusan lampin pakai buang yang betul serta penggunaan peralatan makan dan minum berasingan.


Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil supaya tidak membawa anak ke tempat-tempat berisiko berlaku penularan jangkitan HFMD seperti taman permainan awam.


Orang ramai juga dinasihatkan supaya melaporkan kejadian kes HFMD yang berlaku di taska, tadika dan sekolah kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan kawalan.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update