Kenaikan suhu, jerebu dijangka pada Julai-September

Jerebu Kuala Lumpur, Kebakaran Hutan
Monsun Barat Daya yang dijangka bermula Sabtu ini dan berterusan sehingga pertengahan September


KUALA LUMPUR—Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan berlaku kenaikan suhu berserta fenomena jerebu di negara ini pada Julai hingga September depan. 

Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah berkata pengaruh faktor luar seperti ribut tropika di negara berhampiran seperti Filipina boleh menyebabkan keadaan menjadi kering di Semenanjung.

“Di Indonesia, berkemungkinan berlakunya kebakaran hutan kerana cuaca kering adalah tinggi dan angin akan datang dari barat daya (membawa asap) ke negara kita dalam bentuk jerebu,” katanya menerusi rancangan Malaysia Petang Ini yang diterbitkan BernamaTV hari ini.

MetMalaysia semalam mengeluarkan kenyataan berkaitan Monsun Barat Daya yang dijangka bermula Sabtu ini dan berterusan sehingga pertengahan September.

Muhammad Helmi berkata kejadian itu akan menyebabkan pengurangan pembentukan awan hujan dan mengalami hari tanpa hujan serta menghasilkan taburan hujan yang rendah.

Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah.

-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.