'Hotspot' penyeludupan ketum digempur

Gambar arkib

PADANG BESAR-- Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih satu tan daun ketum di kawasan kebun berhampiran Kampung Wang Kelian, dekat sini semalam.


Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Supt Ramli Wan Salin berkata longgokan daun ketum dianggar bernilai RM30,450 itu ditemukan unit risikan PGA yang melakukan rondaan di kawasan tersebut pada 3 pagi.


"Selepas menjumpai longgokan daun ketum berkenaan, unit risikan menunggu lebih satu jam untuk mengesan suspek namun tiada yang datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau berkata hasil rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.


 Ramli berkata kawasan Wang Kelian dan Padang Besar merupakan lokasi 'hotspot' bagi penyeludupan daun ketum ke Thailand dan pihaknya sentiasa memberikan perhatian khusus bagi menjalankan risikan di kawasan terlibat.


"Secara keseluruhannya, kejayaan rampasan daun ketum oleh Batalion 18 PGA hingga semalam adalah sebanyak 1,375 kilogran dengan nilai rampasan RM41, 250," katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post