Dua pemuda gagal rompak cikgu ditangkap tidak sampai 24 jam

Kedua-dua suspek dicekup berhubung kes rompakan di sebuah rumah guru di Kampung Jawa Sungai Menaul Jalan Esengai Serian awal pagi tadi. 

SERIAN-- Dua pemuda berjaya ditangkap polis petang tadi dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas mereka melarikan diri setelah gagal merompak seorang guru wanita di Kampung Jawa Sungai Menaul Jalan Esengai Serian awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata kedua-dua suspek berusia 22 dan 23 tahun, ditangkap sekitar jam 5.30 petang tadi di sebuah rumah tidak bernombor Kampung Menaul, Serian oleh sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Serian ASP Alias Nen.

"Polis turut membuat rampasan barang kes iaitu senjata dan pakaian yang digunakan oleh kedua-dua suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, saringan ujian air kencing kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis syabu.

Jelas Aswandy, kedua-dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana mencuba melakukan rompak yang mana jika sabit kesalahan boleh dipejara selama tempoh tujuh tahun dan denda," ujarnya.

Aswandy memberitahu, sebelum ini mangsa berumur 48 tahun tampil membuat laporan polis selepas rumahnya dimasuki kedua-dua suspek sekitar jam 1.30 pagi.

"Mangsa terjaga dari tidur kerana terdengar bunyi pagar pintu dapur telah dibuka, kemudiannya terus ke dapur dan mendapati pintu dapur rumahnya telah terbuka dan terdapat seorang lelaki yang bertutup kepala dengan kain baju berada di dalam dapurnya sambil membawa dan memegang sebilah pisau kecil.

"Mangsa kemudiannya menjerit 'meminta tolong' dan mangsa juga sempat menghampiri suspek dan menarik penutup kepala suspek sehingga tertanggal.

"Setelah itu kedua-dua suspek terus melarikan diri," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya tiada kerugian dan kecederaan dialami oleh mangsa.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.