Dua lelaki terlibat dadah dicekup

Gambar IPD Kuching

KUCHING—Polis berjaya memberkas dua individu disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, tangkapan pertama sekitar jam 11 pagi semalam dalam serbuan di Jalan Rock.

"Bertindak atas maklumat, pasukan serbuan telah menahan seorang lelaki tempatan.

"Hasil pemeriksaan telah merampas 5 paket plastik lutsinar disyaki syabu, berat kasar dianggarkan 5.13 gram dengan nilai RM513," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Jelasnya, suspek juga mempunyai satu kes rekod lampau.

Serbuan kedua pula kata Ahsmon, pada jam 6.55 petang semalam yang mana pasukan serbuan telah menahan seorang lelaki bertempat di sekitar bandar, Kuching.

Tambahnya, hasil pemeriksaan telah merampas satu paket plastik lutsinar disyaki syabu, berat kasar 10.62 gram dengan anggaran bernilai RM1,062.


Bagaimanapun, katanya suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Berikutan itu, tegasnya kedua–dua suspek ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, katanya boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun tetapi tidak lebih daripada lima tahun dan disebat tidak kurang dari tiga sebatan tetapi tidak lebih daripada sembilan sebatan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam tampil menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Next Post Previous Post