Dua ditahan terima rasuah kerana melindungi aktiviti pemalsuan cukai jualan

Tindakan kedua-dua suspek telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan negeri Sabah. Gambar arkib

KOTA KINABALU—Seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri dan seorang pesara kerajaan telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah kerana telah meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM700,000 daripada sebuah syarikat kilang sawit sebagai balasan untuk melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada Kementerian Kewangan Sabah (MOF).

Menurut sumber, tindakan kedua-dua suspek telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan negeri Sabah.

Menurut sumber, kedua-dua mereka telah ditahan pada jam 11 pagi tadi ketika hadir di pejabat SPRM Sabah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan dijangka permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat.
Next Post Previous Post