Dua beradik ditahan bantu siasatan kes samun penyampai berita


KUALA LUMPUR-- Polis menahan dua beradik bagi membantu siasatan kes samun membabitkan seorang penyampai berita televisyen di Damansara Perdana, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata lelaki dan wanita  berusia 31 dan 24 tahun itu ditahan kira-kira 4.30 petang tadi di Puncak Alam.

Beliau berkata semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai enam rekod lampau berkaitan kes dadah dan 15 rekod jenayah orang dikehendaki polis berkaitan dadah manakala wanita itu pula tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. 

Menurutnya pihaknya merampas beberapa barang kes yang dipercayai hasil kejadian samun termasuk sebuah kereta yang digunakan suspek dalam kes itu.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya esok bagi permohonan reman untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ku Mashariman berkata dalam kejadian kira-kira 3.40 petang semalam, pengadu yang merupakan seorang lelaki berusia 30-an mendapati kereta miliknya yang diletak di tepi jalan berhampiran kawasan Damansara Perdana sedang dipecah oleh seorang suspek. 

Beliau berkata suspek yang telah menendang cermin di bahagian penumpang hadapan kereta telah mengambil beg milik pengadu mengandungi komputer riba serta barangan peribadi lalu melarikan diri setelah menyedari kehadiran pengadu.

Pengadu telah mengejar suspek lalu berlaku pergelutan dan beg milik pengadu telah terjatuh dari kereta suspek.

Katanya pengadu telah mengalami kecederaan ringan dan kerugian dianggarkan RM500.

Terdahulu, tindakan pengadu cuba mengejar dan menangkap suspek ketika cuba melarikan diri telah tular menerusi satu rakaman video berdurasi 30 saat yang dirakam dan dimuat naik pengguna laman sosial TikTok yang kebetulan berada di tempat kejadian. 

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.