BERSATU mahu bertanding guna lambang GPS

Muhyiddin (kanan) menyampaikan peruntukan bantuan istimewa untuk Kelab Kebajikan Komuniti Luar Bandar Bintulu.

BINTULU—Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan hasrat untuk bertanding menggunakan lambang Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi parlimen di negeri ini.

Memetik laporan Utusan Borneo, Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tidak menjadi masalah untuk ahli BERSATU bertanding menggunakan tiket GPS pada PRU-15 kelak.

Tambahnya, kehadiran BERSATU di Sarawak bukan untuk mencabar GPS sebaliknya turut menyokong dan mendukung kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memberi khidmat kepada rakyat negeri ini.

"Kita minta Premier memberikan pertimbangan sebaik-baiknya, apabila kita bertanding (sekiranya) menang bermakna GPS menang walaupun dengan nama BERSATU tapi (ia juga) GPS yang menang akan menambah kekuatan.

"Tak apa kita bertanding menggunakan simbol GPS tetapi kita tetap ahli BERSATU PN sama ada kita menang atau kalah kita akan terus menyokong kerajaan GPS," ujarnya berucap merasmikan Majlis Raya dan Pra-Gawai di Dewan Suarah Bintulu pada Sabtu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) katanya, pemimpin BERSATU di Sarawak terdiri daripada 100 peratus anak Sarawak dan bukan untuk mencabar GPS kerana parti ini mendukung prinsip dari dahulu hingga kini untuk menyokong penuh kepimpinan Premier Sarawak.

"Saya sebut ini supaya ahli BERSATU dan rakyat Sarawak tahu kita berada di sini bukan untuk mencabar sesiapa tetapi untuk memberi khidmat bukan untukdiri kita tetapi kepada rakyat Sarawak, ini matlamat perjuangan kita.

"Sebab itu hubungan BERSATU dengan kerajaan negeri rapat bukan secara peribadi tetapi sewaktu saya membentuk kerajaan pusat dahulu sebagai Perdana
Menteri lebih setahun ketika waktu sukar COVID-19," tambahnya.

Justeru, tegasnya, pimpinan BERSATU akan terus menjalin kerjasama baik dengan GPS yang diharap dapat mempertimbangkan BERSATU bertanding di negeri ini bagi kerusi Parlimen pada PRU15 akan datang.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu menambah, beliau melihat penting untuk membentuk sebuah kerajaan kukuh waktu itu dan antara yang memberi sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri ialah pimpinan Kerajaan Sarawak yang masih kekal hingga kini.

Jelas beliau lagi, pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), BERSATU mengotakan janjinya untuk tidak meletakkan calon bertanding agar tidak bertembung dengan GPS bahkan menarik balik pencalonan ahlinya Datuk Ali Biju untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.

"Jadi atas sebab adanya persefahaman itu walaupun Ali Biju telah hantar borang penamaan calon, dia menghormati saya sebagai ketua parti, dia umum tidak bertanding, tarik diri.

"Saya hendak sebut ini supaya semua faham keberadaan kita untuk sama-sama bekerja membantu kerajaan negeri ini," katanya.

Pada majlis itu Muhyiddin mengumumkan peruntukan bantuan istimewa RM50,000 untuk Kelab Kebajikan Komuniti Luar Bandar Bintulu pada majlis tersebut.

Hadir sama Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, Ketua Bahagian BERSATU Bintulu merangkap Pengerusi Kelab Kebajikan Komuniti Luar Bandar Bintulu Leftenan Madya (B) Duke Janteng, Ketua Sayap Srikandi BERSATU Sarawak Siti Sara Udin dan Ketua Sayap Armada BERSATU Sarawak Alexander Frusis, seluruh jawatankuasa pimpinan BERSATU Negeri, pimpinan pertubuhan bukan kerajaan, ketua-ketua kaum dan ketua-ketua masyarakat setempat.
Next Post Previous Post