Beli sikit-sikit sebelum seludup?

Tangki plastik segiempat yang digunakan untuk menympan minyak diesel bersubsidi dipercayai dibeli dari stesen-stesen minyak sekitar Kuching. Gambar kredit Polis Marin Sarawak

KUCHING—Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Kuching menggagalkan cubaan menyeleweng 15,000 liter diesel bersubsidi di sebuah premis tidak bernombor di kawasan Perindustrian Demak, semalam.

Serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dilakukan hasil maklumat risikan yang dijalankan oleh Unit Risikan Marin (URM) Markas PPM Wilayah 5 Kuching serta anggota Unit Risik Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) beberapa minggu lalu.

Serbuan menemui sebanyak 22 tangki plastik segiempat yang berkapasiti 1,000 liter manakala 15 tangki plastik berisi lebih kurang 15,000 liter minyak diesel di dalam premis. Gambar kredit Polis Marin Sarawak

Komander PPM Wilayah 5, ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai membeli minyak diesel ini di stesen-stesen minyak sekitar Kuching dan menyimpannya di premis berkenaan.

Hasil pemeriksaan katanya, pasukan menemui 22 tangki plastik segiempat yang berkapasiti 1,000 liter manakala 15 tangki plastik berisi lebih kurang 15,000 liter minyak diesel di dalam premis tersebut.

Rampasan tangki berisi minyak diesel serta dua tangki besi buatan sendiri bersama pam dan sebuah lori dianggarkan keseluruhan bernilai RM121,600. Gambar kredit Polis Marin Sarawak

"Seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga premis gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki atau menyimpan barang kawalan," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Menurut beliau lagi, pasukan operasi kemudian bertindak merampas kesemua tangki berisi minyak diesel serta dua tangki besi buatan sendiri bersama pam dan sebuah lori dianggarkan keseluruhan bernilai RM121,600.

Premis tidak bernombor di kawasan Perindustrian Demak dijadikan lokasi mengumpul dan menyimpan diesel bersubsidi sebelum diseludup. Gambar kredit Polis Marin Sarawak

Sementara itu katanya, penjaga premis tersebut turut ditahan untuk membantu siasatan.

"Kesemua rampasan dan tangkapan kemudian diserah kepada Pengawai Penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuching untuk siasatan lanjut," katanya
Next Post Previous Post