Arkitek rugi RM121,000 angkara ‘Mohd Rizuan’ dan ‘Sarjan Farah’
Gambar hiasan |
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri hari ini berkata lelaki berumur 35 tahun itu, membuat laporan polis semalam di sini setelah menyedari dirinya ditipu sindiket itu yang menghubunginya bermula 1 Mac lepas.
“Mangsa telah menerima panggilan telefon dari seorang lelaki memperkenalkan dirinya sebagai Mohd Rizuan dari Mahkamah Langkawi pada 1 Mac, mengatakan mangsa telibat dalam satu kes pengubahan wang,” katanya dalam satu kenyataan.
Setelah mangsa menafikan penglibatannya, panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mendakwa dirinya Sarjan Farah dari Balai Polis Langkawi dan akan membantu mangsa membuat laporan penafian dengan syarat, mangsa membuat pembayaran untuk audit dan siasatan.
“Mangsa kemudian dihubungi beberapa individu melalui telefon bagi mengarahkannya membuat bayaran itu. Mangsa melakukan 11 transaksi wang keseluruhannya berjumlah RM121,000 ke empat akaun bank atas nama individu yang berlainan di antara 1 Mac dan 12 April,” kata Mohd Azman.
Menurutnya mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah nombor-nombor telefon yang digunakan suspek-suspek itu tidak dapat dihubungi selepas beliau membuat pembayaran berkenaan.
-- BERNAMA