Akibat pengaruh kawan, pemuda dicekup polis terlibat dadah


BAU— Cubaan seorang pemuda lari daripada diperiksa dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tabong gagal apabila dia ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek berusia 22 tahun tidak bekerja itu ditangkap sekitar jam 1.50 petang oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.

"Semasa menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut di sebuah rumah dan pada ketika itu kelihatan seorang suspek melarikan diri dari arah pintu belakang.

"Suspek bagaimanapun berjaya ditahan dan dipercayai terlibat dengan aktiviti dadah," jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Kata Poge, siasatan awal di tempat kejadian, suspek mengaku ada mengambil dadah.

Berikutan pengakuan suspek itu tegasnya dia dibawa untuk menjalani ujian saringan awal air kencing.

"Hasil saringan awal air kencingnya didapati positif dadah," ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dedahnya lagi, suspek dipercayai terlibat dalam pengambilan dadah disebabkan pengaruh kawan.

Sehubungan itu, Poge menegaskan pemeriksaan di kawasan yang disyaki adanya aktiviti dadah akan terus dipantau untuk membendung gejala ini.

Katanya lagi, gejala ini boleh merosakkan akhlak seseorang.

"Justeru, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing dan pemberi maklumat akan dirahsiakan," ujarnya.
Next Post Previous Post