4,037 rakyat di Sarawak hilang pekerjaan akibat COVID-19, Gerawat


KUCHING—Penularan pandemik COVID-19 telah mengakibatkan 4,037 rakyat di Sarawak kehilangan pekerjaan mereka, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Gerawat Gala.

Beliau berkata sebagai langkah bantuan segera, kerajaan Sarawak telah melaksanakan lapan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) berjumlah RM5.7 bilion bagi meringankan beban rakyat yang terkesan termasuk golongan kehilangan pekerjaan.

“Bagi mengurangkan isu pengangguran, Sarawak melaksanakan Graduate Enhancement Training Sarawak (GETS) untuk graduan. Selain itu, kerajaan Sarawak akan melaksanakan program Industry Workforce Development Programme dengan kerjasama daripada industri bagi pemberi latihan dalam industri.

“Pakej BKSS ini juga termasuk pemberian tunai kepada kumpulan B40, bantuan tunai untuk pengusaha kecil dan sederhana selain penangguhan bayaran sewa premis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Safiee Ahmad (GPS-Daro) semasa sesi pertanyaan pada hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini, hari ini.

Gerawat berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga mengadakan program seperti Go Rural Area Programme (GRAP) dan Karnival Kerjaya bagi memberi maklumat mengenai peluang pekerjaan.

“Dengan keadaan ekonomi yang kembali pulih selepas COVID-19, semakin banyak industri yang turut giat melaksanakan pameran kerjaya seperti Sarawak Oil Palms Berhad dan Sarawak Petchem Sdn.Bhd,” katanya.

Katanya, untuk jangka masa panjang, kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi berproduktiviti tinggi, peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Adalah dijangkakan lebih kurang 200,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi akan diwujudkan menjelang tahun 2030,” tambahnya.

-- BERNAMA  
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.