38 PATI warga Myanmar ditahan ketika berjalan di ladang getah

Seramai 38 warga Myanmar ditahan ketika cuba menyeludup masuk ke negara ini menggunakan laluan ladang getah di Bukit Kayu HItam. Gambar kredit Markas 2 Divisyen 


ALOR SETAR—Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) mematahkan cubaan 38 pendatang tanpa izin warga Myanmar, yang cuba menyeludup masuk ke Malaysia di sempadan Malaysia-Thailand, dekat Bukit Kayu Hitam, hari ini.


Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua pendatang tanpa izin berkenaan ditahan pada pukul 5.45 pagi di kawasan ladang getah, sektor Op Benteng, kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.


Menurut kenyataan itu pasukan Serang dan Tangkap (SERKAP) yang berada di kawasan pagar sempadan, telah mengesan kelibat sekumpulan orang awam yang sedang berjalan kaki dalam keadaan mencurigakan dan telah menahan kesemua mereka.



“Hasil pemeriksaan mendapati 13 lelaki dan 25 wanita yang berumur antara 15 hingga 40 tahun itu adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.


“Turut dirampas adalah 23 unit telefon bimbit dan wang tunai dalam mata wang Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan lebih RM10,000. Kesemua pendatang tanpa izin itu telah diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu lagi.


Kenyataan itu memaklumkan pihaknya akan sentiasa mengawal sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post