245 sekolah usang di Sarawak dibaik pulih setakat ini

Menteri Pelajaran, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk  Roland Sagah Wee Inn

KUCHING—Sejumlah 245 sekolah yang dikategorikan sebagai usang di Sarawak telah dibaiki, dibina semula atau dipindahkan setakat ini daripada 1,020 sekolah yang telah dikenal pasti di seluruh negeri ini sejak 2016.


Menteri Pelajaran, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk  Roland Sagah Wee Inn berkata projek yang telah siap itu adalah antara 455 yang telah diluluskan untuk dilaksanakan.


“Sebanyak 565 lagi sekolah usang masih lagi dalam pertimbangan bagi pembangunan masa depan,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya bagi usul menjunjung kasih titah Yang Dipertua Negeri Sarawak sempena perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. 


Dari segi pembiayaan untuk projek berkenaan, beliau berkata Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan telah memperuntukkan RM1.7 bilion untuk 242 projek pembangunan sekolah sejak 2016.


Kerajaan Sarawak menyuntik RM1.3 bilion bagi 213 projek pembangunan sekolah yang merangkumi bayaran pendahuluan RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan, Projek Rakyat (RM140 juta) dan projek menaik taraf sekolah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) (RM160 juta), katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post