Warga emas maut motosikal dirempuh Toyota Hilux

Mangsa maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh Toyota Hilux di Jalan Mukah-Balingian pagi tadi.

MUKAH—Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux di Jalan Mukah-Balingian di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata, dalam kemalangan sekitar jam 7.35 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Umar Katon, 78, beralamat di Kampung Penakub Hilir, Mukah bergerak lurus dari arah pusat bandar.


“Sebaik sahaja hendak memasukki simpang ke kebunnya di sebelah kanan jalan raya, mangsa telah dirempuh oleh kenderaan 4WD yang dipandu lelaki berusia 27 tahun.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke tepi jalan. Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan tangan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.

Sementara itu pemandu telah ditahan di lokap Balai Polis Mukah untuk tindakan lanjut manakala kenderaan dibawa ke Balai Trafik IPD Mukah.

Polis turut mencari saksi untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post