Wanita OKU mental maut dilanggar ketika melintas jalan
Seorang wanita OKU maut dilanggar kenderaan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce pagi tadi. |
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John dalam kenyataan berkata, dalam kejadian sekitar jam 7.50 pagi itu, mangsa dikenali Liaw Swee Hon, 56, juga seorang kelainan upaya (OKU mental), disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak akibat cedera di kepala.
"Polis menerima laporan daripada adik mangsa sekitar jam 12.15 tengah hari memaklumkan kakaknya telah meninggal dunia di hospital akibat kemalangan jalan raya.
"Siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 7.50 pagi melibatkan seorang pejalan kaki (mangsa) melintas jalan bersendirian dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, berhadapan dengan Regal Court Hotel," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan pada 9.00 pagi hari yang sama.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan berkenaan tampil menyalurkan maklumat.
Kes masih dalam siasatan.