Tuntutan palsu RM150,000: Pemilik, pengurus besar syarikat direman

Gambar arkib

JOHOR BAHRU—Seorang pemilik syarikat pembinaan dan seorang pengurus besar syarikat pangkalan pelabuhan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM150,000.

Tempoh reman sehingga Ahad ini terhadap pemilik syarikat berusia 30 tahun dan pengurus besar syarikat yang berusia 39 tahun itu dikeluarkan Majistret Zuhainie Zull Kafli di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, sumber memaklumkan pemilik syarikat itu ditahan kira-kira pukul 6 petang, diikuti penahanan terhadap pengurus besar syarikat itu kira-kira 8.30 malam selepas masing-masing hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor, semalam.

Difahamkan, pada tahun lepas, pengurus besar syarikat itu telah meluluskan tiga tuntutan pembekalan dan pemasangan kabin daripada pemilik syarikat berkenaan sedangkan ia tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post