Sri Aman dan Serian diisytihar kawasan kawalan Demam Babi Afrika



KUCHING: Daerah Sri Aman dan Serian kini diisytihar sebagai kawasan kawalan Demam Babi Afrika (ASF), kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Beliau menerusi kenyataan hari ini berkata, pengisytiharan itu dibuat mengikut Seksyen 35 (1)(b) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

"Orang ramai termasuk penternak babi di kawasan kawalan penyakit ASF ini dinasihat tidak memberi makanan kepada babi, membawa keluar atau masuk babi hidup, daging babi atau produk babi ke kawasan kawalan ASF dikenal pasti," katanya.

Selain itu, Dr Rundi memberitahu, orang ramai termasuk penternak juga tidak boleh membawa, membeli secara dalam talian atau menghantar babi atau sebarang produk babi ke dalam dan keluar kawasan kawalan virus.

Pada masa sama, tegasnya, penternak khasnya perlu melapor segera jika berlaku sebarang kematian mengejut babi.

Tambahnya, mana-mana aktiviti haram melibatkan babi dan produk babi juga perlu dilaporkan kepada Pejabat Veterinar Bahagian terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata, penternak juga dinasihatkan meningkatkan sanitasi ladang serta kawasan sekitarnya menggunakan pembasmi kuman, mencuci dan membasmi kuman semasa bersentuhan dengan haiwan atau produk haiwan berkenaan.

"Elakkan juga babi peliharaan bersentuhan dengan babi hutan dengan meningkatkan halangan fizikal, terakhir elakkan daripada mengunjungi ladang-ladang babi dan tidak menggalakkan pengunjung ke ladang babi," ujarnya lagi.
Next Post Previous Post