Seluruh Sarawak perlu kekal berwaspada dengan pembukaan sempadan, Abang Johari

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Gambar kredit Sarawakku

KUCHING—Seluruh penduduk Sarawak perlu terus berwaspada ketika negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik COVID-19 dan membuka semula sempadannya esok, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata orang ramai juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan kesihatan semasa dan garis panduan perjalanan yang mungkin berubah dari semasa ke semasa.

“Kita sedang bergerak secara beransur-ansur ke arah kehidupan yang hampir kembali normal. Ini akan memulihkan ekonomi kita dan membolehkan anak-anak kita kembali ke sekolah, untuk tempat kerja beroperasi dalam kapasiti optimum, untuk keluarga bersatu semula dan untuk masyarakat bersosial,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada 8 Mac lepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, dan sempadan negara akan dibuka semula mulai1 April.

Ismail Sabri berkata langkah itu akan memulihkan ekonomi negara secara keseluruhan terutamanya industri pelancongan yang terjejas dengan wabak itu.

Sementara itu Abang Johari berkata sejak dua tahun lepas, seluruh penduduk Sarawak telah bersama-sama berjuang dalam memerangi wabak COVID-19.

Bagi pihak kerajaan negeri, Abang Johari merakamkan penghargaan kepada semua atas ketabahan, kesabaran dan disiplin mereka dalam mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan inisiatif kerajaan dalam memerangi wabak itu.

“Pada Mac 2022, kita telah melihat trend penurunan kes harian baharu COVID-19. Kita percaya kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan penduduk di Sarawak telah menyumbang kepada trend penurunan kes COVID-19.

“Sehingga kini, 89.19 peratus daripada mereka yang layak menerima dos penggalak telahpun mendapat dos penggalak mereka. Kita merayu kepada mereka yang layak dan belum diberi vaksin untuk tampil menerima dos penggalak mereka,” tambahnya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post