Sarawak dipilih destinasi pelancong sempena MATTA Fair 2022

Gambar kredit STB

KUCHING— Sarawak telah dipilih sebagai destinasi lawatan pelancong sempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2022 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hujung minggu ini, (9 dan 10 April).

Semasa pameran itu, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bersama-sama 20 rakan industrinya akan mempamerkan mengenai tarikan budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival (CANFF) Sarawak, daripada aktiviti riadah hinggalah pakej pelancongan yang akan memacu adrenalin.

Ia termasuk aktiviti mengunjungi rumah panjang tradisional, menyelam, berkayak dan mendaki gunung.

Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Salleh Askor dalam kenyataan hari ini berkata penyertaan Sarawak dalam pameran pelancongan pengguna terbesar negara itu, adalah tepat pada masanya susulan pembukaan semula sempadan negara kerana semua pemain industri di negeri ini sudah bersedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong untuk menikmati keunikan tersendiri dimiliki Sarawak.

“Kami berbesar hati dipilih sebagai destinasi pilihan untuk MATTA Fair buat kali ketiga. Sebagai pratonton kepada pengunjung tentang keunikan yang Sarawak tawarkan, reka bentuk gerai pameran kami akan diilhamkan daripada seni bina Muzium Budaya Borneo yang baru dibuka, dan terbesar di Malaysia serta kedua terbesar di Asia Tenggara yang merupakan destinasi wajib dikunjungi di Sarawak,” katanya.

“Ia (MATTA Fair) adalah penting untuk pemulihan industri dan menandakan kita akan kembali mengharungi kehidupan normal, yang merupakan suatu langkah ke hadapan yang menarik. Industri ini perlu pulih dan kembali memacu perniagaan, serta ia adalah peluang terbaik untuk mempamerkan apa dapat ditawarkan Sarawak dan Malaysia,” kata Sharzede.

Antara tarikan unik yang telah dipakejkan termasuk berbasikal pada malam hari sekitar bandar raya Kuching, menerokai pusat warisan Bung Jagoi, sebuah perkampungan Bidayuh lama yang ditubuhkan lebih 150 tahun lalu, melawat perkampungan pesisir pantai Sarawak dan Taman Negara Mulu, tapak Warisan UNESCO.

Di gerai Sarawak bernombor 4051-4071 berhampiran pintu masuk utama WTC Hall 4, pengunjung berpeluang menyertai teka-teki bertemakan Sarawak untuk membawa pulang hadiah unik seperti beg tangan kecil kaum Penan, bakul anyaman rotan asli atau kalungan manik.

Sempena Ramadan, STB juga akan memberikan Kek Lapis dan Bubur Pedas, menu tradisi tempatan orang Melayu Sarawak yang lazimnya dihidangkan semasa berbuka puasa.

Pengunjung ke gerai itu juga akan dihiburkan dengan himpunan muzik asli Sarawak oleh kumpulan muzik dunia kontemporari tradisional, At Adau, serta pelbagai persembahan tarian dan muzik oleh Majlis Kesenian Sarawak (SAC).


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.