PKR dan Amanah belum terima 'jemputan' DAP, bincang kerjasama parti pembangkang Sarawak

Abun Sui Anyit

KUCHING— Ketua Penerangan Dan Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Abun Sui Anyit mendedahkan bahawa parti itu belum menerima 'jemputan' bermesyuarat daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen berhubung kerjasama parti pembangkang lain di negeri ini.

Beliau membertiahu, selain PKR Sarawak, Parti Amanah Negara (Amanah) Sarawak juga tidak dipanggil untuk mesyuarat tersebut.

"Walau bagaimanapun, adalah lebih baik jika apa-apa keputusan yang ingin diambil untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain di Sarawak, perlulah melibatkan rakan–rakan dalam PH Sarawak seperti PKR Sarawak dan Amanah Sarawak.

"Setakat sehingga tarikh kenyataan media ini, Pakatan Harapan Sarawak belum lagi dipanggil bermesyuarat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas perkara itu ekoran kenyataan Chong berhubung rancangan DAP Sarawak yang akan bermesyuarat dengan parti politik pembangkang Sarawak di Sibu pada Selasa ini dan seterusnya kemungkinan menjalin kerjasama dengan parti pembangkang lain di Sarawak.

Justeru, Abun menegaskan, apa–apa keputusan yang dibuat oleh DAP Sarawak dengan pembangkang lain yang memberi kesan negatif kepada rakan dalam PH Sarawak perlulah dielak.

Tambahnya, secara prinsipnya kepimpinan PKR Sarawak melihat perkembangan tersebut dengan kepercayaan bahawa DAP Sarawak hanya berunding dengan parti politik pembangkang lain berkaitan kerusi-kerusi dalam senarai DAP Sarawak dan bukannya melibatkan 19 kerusi Parlimen yang dalam senarai PKR Sarawak.

"Sama ada PKR Sarawak setuju atau tidak, terlalu awal untuk mengiyakan atau menidakkan persoalan bekerjasama dengan parti pembangkang lain di Sarawak," ujarnya.
Next Post Previous Post